FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Faliq Lajim


MAJLIS Perbandaran Klang (MPK) menawarkan diskaun serendah RM5 bagi pengurangan kompaun letak kereta sempena Ulang Tahun ke-129 MPK bermula 20 Mei hingga 2 Jun depan.

Yang Dipertuanya Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya menawarkan pengurangan kompaun itu bagi tahun 2011 hingga 2015 manakala RM15 hingga RM200 bagi kompaun tahun 2016 hingga 2019 membabitkan pelbagai kesalahan.

“Kadar serendah RM5 ini dapat membantu pelanggan yang tidak berkesempatan menjelaskan kompaun terdahulu, supaya mereka dapat diselesaikan mengikut tarikh ditetapkan.

“Namun, kempen selama 14 hari itu tidak termasuk kompaun yang dikeluarkan di bawah Perenggan 51 (Kesalahan-kesalahan meletak kereta di petak khas).

“Ia termasuk Perenggan 36 (2) (e) (Kesalahan OKU) dan Perenggan 36 (1) (a) (Kesalahan tiada seorang pun menghalang atau menyebabkan terhalang mana-mana tempat atau petak letak kereta),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Bulanan MPK di Klang, hari ini.

Menurut beliau, orang ramai boleh membuat semakan di kaunter tambahan yang disediakan di Lobi Ibu Pejabat MPK dan Pejabat Cawangan MPK Jalan Tengku Kelana, di sini.

“Bayaran pula boleh dibuat di semua kaunter Majlis di Ibu Pejabat MPK, Pejabat Cawangan MPK Jalan Tengku Kelana, Pejabat Cawangan MPK Jalan Raya Barat, Kompleks Pasar Besar Jalan Meru, Perhentian Bas Pelabuhan Klang, Dewan Meru dan Pekan Kapar.

“Selain itu, bayaran boleh dibuat di mesin i-Kiosk (CDM), Pasaraya Giant Bukit Tinggi, Kaunter Van Bergerak MPK dan di pasaraya AEON Bukit Raja dan Bukit Tinggi setiap Sabtu dan Ahad bermula 10.30 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Kata Mohamad Yasid, orang ramai perlu merebut peluang keemasan itu untuk menjelaskan kompaun mereka sebelum tempoh tawaran berkenaan berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 1:25 PM