MOHD Fahmi menyediakan sate ayam dan pelbagai sate lain di gerainya di Medan Selera Pasar Menggong, Alor Gajah.
MOHD Fahmi menyediakan sate ayam dan pelbagai sate lain di gerainya di Medan Selera Pasar Menggong, Alor Gajah.
Hassan Omar


SEORANG peniaga sate di sini, menyambung amal jariah dilakukan arwah bapanya dengan menawarkan sate ayam berharga 50 sen secucuk setiap Jumaat berbanding 90 sen pada hari lain.

Mohd Fahmi Puteh, 37, tetap meneruskan tradisi setiap Jumaat itu di gerainya di Medan Selera Pasar Menggong di sini, sejak pemergian bapanya, Allahyarham Puteh Bachik pada 2000.

Menurutnya, jika hari biasa dia menyediakan 2,000 sate ayam namun jumlah itu bertambah 5,000 hingga 6,000 sate ayam pada setiap Jumaat berikutan peningkatan permintaan daripada pelanggan.

“Saya cuba mengambil keberkatan hari Jumaat untuk melakukan amal jariah sebagai kesinambungan daripada amal arwah ayah sebelum ini,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini, semalam.

Dia berkata, setakat ini jualan sate ayamnya memang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan kerana mengetahui keenakan sajian itu adalah hasil resipi diwarisi turun-temurun.

Katanya, selain sate ayam, dia turut menjual pelbagai hidangan sate lain termasuk sate daging, kambing, kerang, rusa, perut dan ikan tuna.

“Bagaimanapun, setakat ini hanya sate ayam ditawarkan pada potongan harga hampir 50 peratus kerana permintaan pelanggan terhadapnya lebih tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 5:30 AM