KAPAL terbang terbang rendah di perairan Pasir Gudang berhampiran kawasan Pelabuhan Johor dan mendarat di Lapangan Terbang Seletar, Singapura, Januari lalu. FOTO Zain Ahmed
KAPAL terbang terbang rendah di perairan Pasir Gudang berhampiran kawasan Pelabuhan Johor dan mendarat di Lapangan Terbang Seletar, Singapura, Januari lalu. FOTO Zain Ahmed
Irwan Shafrizan Ismail


SINGAPURA akan menarik balik prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) untuk Lapangan Terbang Seletar manakala Malaysia akan menangguhkan Kawasan Larangan (RA) kekal di Pasir Gudang, Johor.

Kedua-dua perkara itu dipersetujui Malaysia-Singapura atas semangat kerjasama dua hala.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan rakan sejawatnya dari Singapura, Khaw Boon Wan dalam satu kenyataan bersama di Putrajaya hari ini berkata, persetujuan itu dilaksanakan oleh pihak berkuasa penerbangan kedua-dua negara 11.59 malam tadi.

“Dengan perjanjian ini, kedua-dua menteri pengangkutan mengalu-alukan penerbangan FlyFirefly Sdn Bhd ke Lapangan Terbang Seletar berkuat kuasa bulan ini,” katanya.

Kenyataan bersama itu menjelaskan, kedua-dua menteri turut menyatakan bahawa jawatankuasa peringkat tinggi sudah ditubuhkan untuk mengkaji semula surat perjanjian operasi antara Kuala Lumpur dan Pusat Kawalan Kawasan Singapura Mengenai Ketibaan Singapura, Pemberhentian dan Penerbangan 1974.

“Kedua-dua Menteri Pengangkutan mengalu-alukan langkah positif ini dan berharap dapat terus memperkukuh kerjasama dua hala,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pelaksanaan ILS di Lapangan Terbang Seletar, Singapura membabitkan pendaratan pesawat di lapangan terbang itu menggunakan ruang udara Malaysia di Pasir Gudang, Johor, yang dibantah oleh Malaysia.

Singapura dan Malaysia sebelum ini saling menuding jari berhubung apa yang setiap pihak tegaskan sebagai perluasan had pelabuhan yang dianggap mencabuli kedaulatan dan undang-undang antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 1:40 PM