Hadzlihady Hassan


“SAYA tak bagi! Saya tak boleh terima! Kita satu Allah tetap satu Allah,” itu kata-kata tegas diucapkan Nazirah Bibi @ Kuldip Kaur, 69, berhubung isu kematian anak perempuannya, Surinder Kaur Bedi, 37, yang dikebumikan mengikut cara Islam namun dipertikaikan Pertubuhan Belia Sikh Pulau Pinang, semalam.

Pertikaian itu dibuat pertubuhan terbabit kerana mereka mendakwa Surinder masih beragama Sikh dan sepatutnya dikebumikan mengikut adat mereka.

Nazirah Bibi berkata, walau apa sekali pun berlaku, dia sebagai ibu tetap mempertahankan jasad anaknya yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jelutong dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak masuk campur dalam agama dianuti mereka.

“Arwah suami, saya serta semua enam anak beragama Islam dan mengamalkan kehidupan sebagai Muslim.

“Malah Surinder yang juga anak bongsu sudah banyak kali mengucap dua kalimah syahadah di hadapan saya, abangnya dan ahli keluarga lain ketika dia masih hidup,” katanya yang ditemui di rumahnya di Pangsapuri Mutiara Idaman, dekat Georgetown, hari ini.

Menurutnya, arwah anaknya itu mengucap dua kalimah syahadah sejak setahun lalu, namun tidak sempat menukar nama dan berdaftar secara sah.

“Walaupun tiada hitam putih anak beragama Islam, namun saya tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak masuk campur dalam urusan agama kami sekeluarga.

NAZIRAH Bibi ketika ditemui di rumahnya di Jelutong, Georgetown, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.
NAZIRAH Bibi ketika ditemui di rumahnya di Jelutong, Georgetown, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.

“Saya sebagai ibu lebih tahu kehidupan dan agama dianuti anak kerana dia tinggal bersama, malah arwah pernah memberitahu jika meninggal dunia dia mahu dikebumikan di sebelah kubur bapa serta abangnya dan hajat itu akhirnya tertunai,” katanya.

Menurutnya, arwah suaminya sudah memeluk Islam kira-kira 20 tahun lalu diikuti dia dan anak yang lain.

“Selepas beberapa hari memeluk Islam, suami meninggal dunia dan saya turut memeluk Islam namun tidak memaksa anak untuk sama-sama bertukar agama.

“Bagaimanapun, mereka sendiri akhirnya mendapat hidayah dan memeluk Islam dan semua lima anak berdaftar secara sah kecuali Surinder,” katanya.

Menurutnya, Surinder adalah seorang anak baik dan dia yang bekerja di sebuah restoran itu banyak membantu membeli keperluan dan ubat untuknya.

“Arwah memang tidak berkira dan menghabiskan gajinya untuk keperluan keluarga, malah dia sangat rapat dengan abang ketiganya yang sudah meninggal dunia,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Surinder yang dibelasah dengan topi keledar oleh teman lelakinya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang akibat parah di kepala.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Mufti benarkan wanita dikebumi cara Islam'

'Hentak teman wanita sampai mati'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 11:56 PM