Superintendan Ismail Dollah menunjukkan dadah dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Seri Alam tadi. FOTO oleh Nurul Amanina Suhaini
Superintendan Ismail Dollah menunjukkan dadah dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Seri Alam tadi. FOTO oleh Nurul Amanina Suhaini
Izlaily Nurul Ain Hussein


DUA individu termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat dekat Taman Johor Jaya, Johor Bahru, Isnin lalu, yang dipercayai dijadikan lokasi menyimpan dan membungkus dadah berbahaya.

Lelaki berusia 58 tahun dan wanita 26 tahun itu ditahan hasil risikan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam selepas dikesan menjalankan kegiatan itu sejak lebih dua bulan lalu.

Ketika diserbu, dadah dipercayai ekstasi dalam bentuk serbuk dan pil ditemui dalam bilik tidak berkunci dan disimpan di dalam bekas bertutup di bawah meja.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 1.15 petang itu, sebanyak 1,483 biji pil disyaki ekstasi dan lebih 6.4 kilogram (kg) serbuk disyaki ekstasi dirampas.

“Semua dadah itu dianggarkan bernilai RM250,000 dan kami turut menyita sebuah kereta bernilai RM50,900 dipercayai milik suspek lelaki selain wang tunai RM900,” katanya pada sidang media di IPD Seri Alam di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas lebih 80 alat mencetak atau melabel logo di atas setiap pil ekstasi.

“Setiap pil itu akan dibezakan mengikut logo antaranya jenama sukan dan kereta,” katanya.

Beliau berkata, mengikut harga pasaran terkini, setiap pil ekstasi dianggarkan bernilai antara RM30 sehingga RM70 sebiji. Hasil siasatan awal semua dadah itu dipercayai untuk digunakan bagi pasaran tempatan sekitar Seri Alam dan Johor Bahru.

“Kami masih mengesan dari mana dadah ini diambil dan mengenal pasti ke mana ia akan diedarkan.

“Setakat ini, kami percaya dadah ini diproses di tempat lain dan disimpan serta dipaketkan di rumah transit berkenaan,” katanya.

Menurut Ismail, kedua-dua suspek yang didapati positif methamphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing itu kini direman selama enam hari bermula kelmarin hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 6:08 PM