Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


BERANG apabila dua rakannya dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp, lelaki bertindak membelasah ahli jawatankuasa masjid di Sendayan, Seremban, semalam.

Pada kejadian 1.45 tengah hari itu, mangsa berusia 61 tahun cedera di muka dan perut akibat diterajang lelaki berusia 40-an.

Sumber polis berkata, mangsa menunaikan solat Zohor berjemaah sebelum didatangi lelaki itu dalam keadaan marah.

“Suspek dikatakan tidak berpuas hati dan bertanyakan sebab dua rakannya dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp.

“Mangsa memaklumkan mengeluarkan nombor telefon itu kerana mereka sering berkongsi mengenai kontroversi politik yang tiada kesudahan. Berang dengan tindakan itu, suspek menumbuk muka dan menendang mangsa,” katanya.

Katanya, beberapa jemaah yang menyaksikan kejadian membantu meleraikan pergaduhan.

Sumber berkata, mangsa yang cedera membuat laporan di Balai Polis Mambau, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Mohd Rosli Ishak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes berkenaan diselesaikan secara baik membabitkan kedua-dua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 12:49 PM