GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fairuz Zaidan


LELAKI warga emas yang bekerja sebagai penghantar tepung ditemui mati di dalam tandas awam di Terminal Bas Melaka Sentral, Melaka, hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, mayat mangsa, Siew See Hoy, 80, ditemui pencuci tandas dalam keadaan terlentang dan berdarah pada bahagian kepala di dalam tandas yang berkunci.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mayat mangsa dijumpai pencuci tandas yang bimbangkan keselamatan warga emas itu selepas dilaporkan tidak keluar dari tandas selepas 30 minit.

“Maklumat awal diterima anggota di Pondok Polis Melaka Sentral pada 11.30 pagi berhubung penemuan mayat seorang lelaki berusia 80 tahun di tandas awam Terminal Bas Melaka Sentral.

“Siasatan polis dan pemeriksaan sekeliling di tempat kejadian menemui mayat warga emas dalam keadaan terlentang dan berdarah pada bahagian kepala di dalam tandas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua barangan peribadi milik mangsa masih berada bersamanya selain mangsa dilaporkan bekerja sebagai penghantar tepung kepada peniaga premis makanan di terminal itu.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 9:30 PM