SEBAHAGIAN wanita yang diperiksa dalam Ops Pusat Hiburan di Kota Kinabalu, hari ini. FOTO ihsan polis.
SEBAHAGIAN wanita yang diperiksa dalam Ops Pusat Hiburan di Kota Kinabalu, hari ini. FOTO ihsan polis.
Junaidi Ladjana


TIGA wanita warga asing yang sedang leka melayan pelanggan di pusat hiburan di Sunny Garden, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu, ditahan sepasukan polis, hari ini.

Dalam serbuan 3 pagi itu, polis dari Cawangan Anti Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut menahan pengurus, penjaga dan deejay pusat hiburan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika serbuan dijalankan premis itu masih beroperasi manakala pengunjung lelaki dan wanita leka berhibur.

“Hasil pemeriksaan seorang wanita warga Filipina dan dua warga Indonesia berusia 21, 24 dan 28 tahun ditahan kerana disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) tanpa permit kerja.

“Polis turut menahan seorang wanita berusia 35 tahun yang disyaki ‘mummy’ kepada tiga wanita terbabit.

“Selain itu, turut ditahan pengurus pusat hiburan dan deejay di premis berkenaan. Turut dirampas peralatan muzik kerana beroperasi melebihi masa ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati pusat hiburan itu mempunyai lesen perniagaan sah.

“Soal siasat ke atas wanita yang digelar mummy itu mengaku menggajikan ketiga-tiga wanita itu bekerja di pusat hiburan sebagai GRO sejak enam bulan lalu.

“Kami turut merampas beberapa dokumen GRO terbabit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam 1958, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, secara keseluruhan seramai 33 individu diperiksa membabitkan 10 lelaki dan 23 wanita di premis berkenaan.

Katanya, seramai 27 individu menjalani ujian sariangan air kencing sebelum satu lelaki serta tiga wanita tempatan didapati positif dadah.

“Keempat-empat mereka berusia 28 hingga 39 tahun disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Habibi berkata, polis menahan empat pemandu kereta kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk dalam Op Mabuk di kawasan bandar raya Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi bermula 1 pagi dan tamat empat jam kemudian itu, pihaknya memeriksa 41 kenderaan pelbagai jenis.

“Kami menjalankan ujian nafas terhadap 16 pemandu yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dengan lima daripadanya didapati positif.

“Pada ujian nafas kedua, empat didapati positif melebihi alkohol dalam darah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 10:08 PM