FOTO hiasan
FOTO hiasan
Mohd Sabran Md Sani


PEREBUTAN kawasan pengedaran dadah dipercayai menjadi punca tiga lelaki parah selepas diserang tujuh orang bersenjatakan parang dalam kejadian di ladang kelapa sawit di Jalan Permas Utara, Bandar Baru Permas Jaya di Johor Bahru, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian 6 petang itu menyebabkan seorang daripada mangsa putus pergelangan tangan kanan dan seorang lagi putus ibu jari tangan kiri.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan kecemasan dan kini keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Bagaimanapun, pihak hospital tidak berjaya menyambung semula pergelangan tangan mangsa berusia 46 tahun itu disebabkan selnya sudah mati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pada masa sama ibu jari tangan kiri mangsa berusia 39 tahun berjaya disambung semula pasukan perubatan.

Katanya, polis juga sudah berjaya mengesan mangsa ketiga yang luka di tangan kiri di Masai pada 12.15 tengah malam tadi.

“Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada 6.07 petang semalam memaklumkan terdapat seorang lelaki terbaring dalam keadaan berlumuran darah di tepi jalan bersebelahan pasar raya di Permas Jaya.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS dibantu anggota Balai Polis Permas bergegas ke tempat kejadian.

“Siasatan disertai Unit Forensik IPK serta Unit Anjing Pengesan (K9) di lokasi mendapati ia adalah kawasan penagih dadah melepaskan gian dan menemui mangsa berusia 46 dan 39 tahun dalam keadaan parah,” katanya.

Menurutnya, polis turut menemui sebuah motosikal yang dipercayai digunakan seorang mangsa yang hangus terbakar.

Katanya, siasatan awal mendapati punca kejadian akibat perebutan kawasan pengedaran dadah.

“Hasil siasatan mangsa ditetak sekumpulan tujuh lelaki bersenjatakan parang.

“Berikutan itu, kami menubuhkan pasukan khas bagi mengesan suspek dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di sebuah apartment di Bandar Baru Permas Jaya pada 1.10 pagi tadi.

“Kami masih mengesan enam suspek lain yang dipercayai terbabit dalam kes ini,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 326/435 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi talian Hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2218999 atau pegawai penyiasat Asisten Superintendan Muhamad Afdhal di talian 013-7711152.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 6:31 PM