NASRUDDIN tiba di Kompleks SPRM Indera Mahkota untuk memberikan keterangan.
NASRUDDIN tiba di Kompleks SPRM Indera Mahkota untuk memberikan keterangan.
Nik Sukry Ramli

“SAYA hadir untuk beri keterangan dan tidak ada sebarang dokumen diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini (semalam),” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi.

Beliau berkata, kebanyakan soalan dikemukakan pegawai SPRM sepanjang dua jam soal siasat dijalankan adalah berkisar dakwaan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

“Mereka (SPRM) menyoal beberapa soalan mengenai kenderaan mewah yang kononnya saya miliki...sebenarnya saya cuma ada sebuah kenderaan saja dan tuduhan Clare adalah fitnah yang berniat untuk menimbulkan persepsi politik terhadap PAS.

“Selain itu, soalan juga banyak berkisar mengenai fitnah (tuduhan) bahawa kita (PAS) menerima sejumlah wang daripada UMNO... ini juga tuduhan yang tidak betul dan semuanya saya sudah jelaskan kepada mereka (SPRM)...tidak ada dokumen diminta atau diserahkan kepada SPRM, cuma soal siasat saja.

“Tindakan Clare ini sangat tidak adil kerana dia melemparkan tuduhan dan fitnah menggunakan media dengan mengharapkan orang difitnah mengambil tindakan (saman),” katanya selepas memberikan keterangan kepada SPRM di Kompleks SPRM Pahang, Indera Mahkota, semalam.

Katanya, pihak berkuasa sepatutnya, menyoal Clare dan memintanya memberikan bukti setiap fitnah yang dibuatnya, namun apa berlaku sekarang dianggap membebankan mangsa difitnah.

Selain Nasruddin, turut direkodkan keterangan semalam ialah Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik.

Kedua-dua mereka dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung dana RM90 juta yang didakwa diberikan UMNO kepada parti berkenaan.

Setakat ini SPRM sudah merekodkan keterangan daripada 13 individu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Rabu lalu Ketua Dewan Ulama PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Terengganu sudah memberikan keterangan kepada SPRM, selain Pengerusi Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Dr Rameli Musa.

Minggu lalu, SPRM memanggil Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dan Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Mohamed Nasir Daud.

Keterangan berkaitan isu berkenaan mula direkodkan SPRM selepas Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang mengumumkan penyelesaian luar mahkamah kes saman antara Hadi dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 8:02 AM