Shamsul Munir Safini


MENYUSAHKAN. Itu reaksi beberapa pengguna Jambatan Pulau Pinang susulan seorang wanita berusia 22 tahun yang terjun dari jambatan itu sehingga mengundang kesesakan trafik jam 6 petang tadi.

Wanita yang beralamat di Karangan, Kedah itu meletakkan motosikalnya di bahu jalan jambatan menghala Georgetown, membuka selipar sebelum terjun.

Dia bagaimanapun diselamatkan sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan kerana mengadu sakit dada.

Video mangsa terkapai-kapai meminta tolong di salah satu tiang jambatan itu tersebar di media sosial petang tadi.

Segelintir pengguna media sosial menyatakan rasa tidak puas hati dan mengecam tindakan wanita berkenaan kerana ia mengundang kesesakan jalan raya yang teruk.

Kebanyakan mereka menyifatkan tindakan wanita itu hanya mementingkan diri sendiri dan menyusahkan orang lain.

“Ketika itu ramai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, dan mereka berhenti di bahu jalan untuk merakam video dan mengambil gambar wanita berkenaan di dalam laut.

“Tindakan mereka menyebabkan trafik menjadi perlahan dari kedua-dua arah,” katanya.

Difahamkan, Pasukan Polis Marin WIlayah Satu (W1) Batu Uban yang menerima maklumat berjaya menyelamatkan mangsa.

Sumber berkata, mangsa mengalami sakit dada selepas terjun dari jambatan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 8:28 PM
RAKAMAN video mangsa meminta tolong di salah satu tiang jambatan. (Gambar kiri) Motosikal mangsa. FOTO ihsan bomba
RAKAMAN video mangsa meminta tolong di salah satu tiang jambatan. (Gambar kiri) Motosikal mangsa. FOTO ihsan bomba