NAJIB ketika tiba di Mahkamah Sesyen. FOTO Mahzir Mat Isa
NAJIB ketika tiba di Mahkamah Sesyen. FOTO Mahzir Mat Isa
Nur Lela Zulkipli


PERMOHONAN untuk memindahkan kes Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy sudah difailkan ke Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Amir Nasrudin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula di hadapan Hakim Azura Alwi.

Terdahulu, Amir memberitahu mahkamah pihaknya sudah pun memfailkan permohonan untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi.

“Pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan selepas kami mengetahui sama ada permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi ini dibenarkan atau tidak,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah kemudian menetapkan 5 April ini sebutan semula kes.

Pada prosiding itu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee mewakili pihak Najib manakala Arul Kanda diwakili peguam Datuk N Sivananthan.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum ia dimuktamad dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) bagi melindungi diri daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berhubung syarikat pelaburan itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi, dikenakan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Arul Kanda didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Najib iaitu sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri menggunakan jawatan beliau untuk mendapatkan suapan bagi diri beliau sendiri.

Ia bagi perlindungan daripada tindakan bersifat tatatertib sivil atau jenayah berkaitan 1MDB dengan cara mengambil tindakan mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC.

Arul Kanda didakwa melakukan perbuatan itu di di Kompleks Jabatan Perdana Menteri Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 di baca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 11:51 AM