PELAJAR Pondok Meheliah di Geting, Tumpat gembira menerima lima pondok baharu disumbangkan PKINK. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
PELAJAR Pondok Meheliah di Geting, Tumpat gembira menerima lima pondok baharu disumbangkan PKINK. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Rohana Idris


PONDOK Meheliah di Geting, Tumpat menerima lima unit pondok baharu berstruktur batu dengan kos binaan RM30,000.

Fasiliti tambahan itu disumbangkan Yayasan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi menggantikan struktur binaan pondok kayu sebelum ini yang dikhuatiri tidak selamat untuk dihuni.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Hal Ehwal Korporat PKINK, Nik Kamil Amirah Nik Abdul Rahman berkata, sumbangan fasiliti itu adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam membantu institusi pondok di negeri ini.

“Untuk sumbangan fasiliti seperti ini, ia pertama kali dibuat manakala sebelum ini banyak pondok kami bantu dalam bentuk barang keperluan makanan.

“Mungkin selepas ini sumbangan sama akan diberikan bergantung kepada keperluan pondok yang membuat permohonan,” katanya.

Nik Kamil berkata, program CSR PKINK turut membaik pulih lebih 1,000 rumah golongan asnaf yang terbabit dengan banjir sejak 2014 di seluruh Kelantan.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.

Sementara itu, wakil pengurusan pondok, Mohamad Munzir Kamarudin mengucapkan terima kasih kepada pihak PKINK atas sumbangan lima unit pondok yang menggantikan tiga unit dari binaan kayu sebelum ini.

“Bukan sahaja binaan baharu berstruktur batu, tapi ia turut dilengkapi dengan kipas serta lampu bagi memberi kemudahan kepada penghuni di sini.

“Pondok Meheliah sudah berusia lebih 60 tahun dan masih ada berstruktur kayu dan dikhuatiri berisiko kepada penghuni jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Kira-kira 200 penghuni yang menetap di pondok itu terdiri daripada pelajar serta golongan asnaf dan sudah pasti, sumbangan ini akan memberi keselesaan kepada kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 12:37 AM