Kemalangan membabitkan dua kenderaan dan kereta peronda polis yang mengorbankan Lem (gambar kecil), manakala dua lagi cedera. FOTO IHSAN PEMBACA
Kemalangan membabitkan dua kenderaan dan kereta peronda polis yang mengorbankan Lem (gambar kecil), manakala dua lagi cedera. FOTO IHSAN PEMBACA
Noorazura Abdul Rahman


SEORANG lelaki maut, manakala dua anggota polis cedera dalam kemalangan di Kilometer (KM) 58 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Pendang, petang hari ini.

Dalam kejadian 5.40 petang itu, mangsa, Lem Wei Hong, 28, beralamat di Taman Batik, Sungai Petani meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan dalaman dialaminya.

Difahamkan, selepas kemalangan mangsa sempat keluar dari kenderaannya dan mampu bersembang dengan anggota polis yang terbabit dalam kemalangan itu, bagaimanapun tidak lama kemudian dia mengadu sesak nafas sebelum meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata kemalangan itu membabitkan kereta Proton Persona dipandu mangsa dan Kenderaan Peronda Lebuh Raya (EMPV) dinaiki dua anggota polis serta sebuah van dipandu lelaki warga Thailand.

“Ketika kejadian, dua anggota polis terbabit selesai memeriksa sebuah van Thailand dan ingin bergerak semula untuk rondaan, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat dari arah belakang.

“Dalam masa yang sama kenderaan polis bergerak ke hadapan dan terlanggar van berkenaan, apabila anggota turun memeriksa didapati Proton Persona itu melanggar bahagian belakang EMPV terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arriz Sham berkata, selepas kejadian mangsa sempat keluar dari kenderaannya dan mampu bersembang dengan anggota terbabit, kemudian mengalami sesak nafas dan meninggal dunia.

Katanya, pemandu EMPV, Koperal Ahmad Haniff Awang, 31, cedera pada belakang kepala dan rakan setugasnya Koperal Mohd Azam Rahim, 28, cedera di bahagian kaki kiri, manakala pemandu van warga Thailand tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Anggota polis yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 9:18 PM