Kereta Siti Nur Atika yang remuk selepas ditimpa pokok tumbang. FOTO Ihsan Bomba
Kereta Siti Nur Atika yang remuk selepas ditimpa pokok tumbang. FOTO Ihsan Bomba
Nur Saliawati Salberi


“NASIB baik ketika kejadian saya belum keluar makan tengah hari, kalau tak mungkin keadaan lebih teruk lagi,” kata pemilik kereta yang mengalami kerosakan dalam kejadian pokok tumbang di Taman Rumpun Bahagia, Melaka, Siti Nur Atika A Aziz, 22.

Dia yang bekerja sebagai pembantu pejabat itu berkata, ketika kejadian 12 tengah hari, dia berada di dalam premis sebelum terdengar bunyi dentuman.

Katanya, sebaik menjengah keluar untuk melihat apa yang berlaku dia terkejut apabila terlihat Perodua Axia miliknya dihempap pokok.

“Memang terkejut apabila melihat kereta dihempap pokok, tidak sangka pokok itu tumbang, betul-betul di atas bumbung,” katanya.

Menurutnya, dia tidak dapat menganggarkan kerugian yang rosak dan menunggu pihak insurans untuk berbuat demikian.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 12.14 tengah hari sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu bersama lapan anggota termasuk komander operasi bergegas ke lokasi.

“Sejurus tiba terdapat sebatang pokok dipercayai sudah berusia tumbang dan menghempap sebuah kereta.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian pemiliknya berada di pejabat,” katanya.

Beliau berkata, kerja mengalihkan pokok yang tumbang itu siap sepenuhnya 12.55 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 7:04 PM