Muhaamad Hafis Nawawi


SELEPAS hampir sebulan diburu kerana memecah masuk rumah dan melarikan barangan bernilai RM47,500, akhirnya seorang lelaki ditahan polis di sebuah rumah di Taman Selasih, di Kulim, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan jam 12.30 tengah malam selepas polis menerima maklumat dia berada di situ.

Menurutnya, suspek sebelum ini memecah masuk sebuah rumah di Taman Kempas Merah, di Kulim pada 29 Januari lalu dengan memotong jeriji besi tingkap bilik tidur anak mangsa.

“Mangsa menyedari kejadian itu pada jam 3.30 petang ketika pulang ke rumah dan mendapati jam tangan, barangan kemas, kristal, wang tunai dan batu jade lesap.

“Mangsa kemudian melihat kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumahnya sebelum melihat seorang lelaki tidak dikenali memecah masuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Nasir berkata, susulan itu dia tampil membuat laporan di Balai Polis Kulim untuk tindakan selanjutnya.

“Semakan juga mendapati suspek memiliki lapan rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

“Siasatan awal dia tidak mengaku terbabit dalam kejadian itu dan kita akan memohon reman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 10:41 AM