LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Ramli Ibrahim


“SUDAH beberapa kali arwah anak mendaki puncak gua batu kapur itu untuk melihat keindahan alam, namun kali ini saya tidak menyangka anak menghembuskan nafas terakhir di puncak gua itu,” kata Jusoh Che Muda, 73, bapa kepada Zulkifli, 48, yang menemui ajal di puncak gua batu kapur Gua Musang, semalam.

Zulkifli yang juga penjual burger, meninggal dunia 6.15 petang dipercayai akibat serangan jantung ketika berada di puncak gua batu kapur berketinggian 1,200 meter.

Jusoh berkata, anaknya gemar mendaki dan dia pergi bersama rakannya untuk beriadah di waktu petang.

Katanya, dia terkejut selepas dimaklumkan anaknya meninggal dunia di puncak gua sebelum bergegas ke Hospital Gua Musang (HGM).

“Dia (arwah) tinggal bersama dua adiknya di Jalan Pulai Bandar, Gua Musang, dan saya tinggal berasingan di Kampung Tiong.

“Saya sudah lama tidak berjumpa anak dan reda dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HGM, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan, hari ini.

Harian Metro malam tadi melaporkan, seorang lelaki meninggal dunia di puncak gua batu kapur Gua Musang dipercayai akibat serangan jantung selepas mendaki bersama lapan rakannya, petang semalam.

Dalam kejadian 6.15 petang itu, Zukifli Jusoh, 48, dikatakan pitam secara tiba-tiba sebelum disahkan meninggal dunia dan jenazahnya dibawa turun dengan bantuan bomba sebelum diserahkan kepada polis serta dibawa ke hospital.

Berita berkaitan

Ajal di puncak bukit

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 11:07 AM