Nurul Huda (kanan) dan Siti Syakirah (kiri) membayar denda dikenakan ke atas mereka. FOTO Khairunisah Lokman.
Nurul Huda (kanan) dan Siti Syakirah (kiri) membayar denda dikenakan ke atas mereka. FOTO Khairunisah Lokman.
Nur Saliawati Salberi


DUA pemilik pusat jagaan kanak-kanak didenda RM4,000 dan RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini selepas mengaku bersalah tidak mendaftarkan premis dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Majistret Zaridah Y Abdul Jaapar menjatuhkan hukuman masing-masing ke atas Siti Syakirah Mukhtar dan Nurul Huda Ramli, kedua-duanya berusia 34 tahun selepas pertuduhan dibacakan berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Siti Syakirah didakwa mengendalikan Pusat Jagaan Ummi Insyirah yang tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 di Kilometer 4428, Taman Samarinda, Alor Gajah.

Pusat jagaan itu beroperasi sejak 2013 menempatkan seramai 33 kanak-kanak.

Manakala, bagi pertuduhan ke atas Nurul Huda, dia didapati menjalankan operasi sama di Pusat Jagaan Qaseh Iman di Jalan Zamrud Taman Sri Permata sejak 2017 dan ketika serbuan pihak berkuasa, terdapat 12 kanak-kanak.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKM, Eny Edayu Mat Ali dan Nor Aswana Selamat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pegawai pendakwa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas kedua-dua tertuduh kerana ia membabitkan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak.

Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya hukuman ringan dikenakan dengan alasan sudah berusaha untuk membuat pendaftaran dan turut mematuhi syarat lain serta mengeluarkan belanja mengupah pelukis pelan.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara lima bulan kepada Siti Syakirah dan empat bulan penjara terhadap Nurul Huda sekiranya mereka gagal membayar denda.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 6:10 PM