LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai dua warga emas meninggal dunia ketika mendapatkan kupon makanan percuma.
LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai dua warga emas meninggal dunia ketika mendapatkan kupon makanan percuma.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PENGURUSAN ICC Pudu bersedia mempertimbangkan bayaran pampasan kepada ahli keluarga dua warga emas yang maut ketika sedang mendapatkan kupon makanan percuma di Plaza Pudu ICC, Jalan Kijang, Kuala Lumpur, semalam.

Pengurusnya, Chin Huey Yee, berkata, bagaimanapun jumlah pampasan berkenaan bergantung kepada permintaan ahli keluarga.

Mengulas mengenai tragedi itu, Chin berkata, pengedaran 200 kupon makanan percuma hampir siap sebelum empat wanita warga emas pengsan secara tiba-tiba di tempat itu.

“Program itu dianjurkan penjaja yang menjual makanan di ICC Pudu untuk tahun kedua berturut-turut dan pihak kami hanya menyediakan tempat itu.

“Penganjur memberikan bantuan bertujuan untuk membantu mereka yang berusia 60 tahun ke atas sempena sambutan Tahun Baru Cina.

“Mereka sudah memberi notis bahawa hanya 200 kupon makanan percuma akan diedarkan, tetapi lebih daripada 400 orang hadir," katanya ketika ditemui di ICC Pudu, hari ini.

Semalam, dua wanita warga emas maut selepas dipercayai mengalami sesak nafas ketika sedang mendapatkan kupon makanan percuma di Plaza Pudu ICC.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, kedua-dua mangsa dilaporkan berasak-asak bersama lebih 1,000 warga emas yang turut ingin mendapatkan kupon makanan sama.

Hasil pemeriksaan awal terhadap dua mayat yang terbaring atas lantai tingkat bawah plaza berkenaan tidak menemui sebarang kesan berunsur jenayah.

Mangsa dikenali sebagai Law Ion Nang, 78, dan Ah Poh, 85, adalah sebahagian daripada golongan warga emas berbangsa Cina yang beratur bersama-sama warga emas lain untuk mendapatkan kupon makanan.

Berita berkaitan

'Dua maut berebut kupon makanan percuma'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 5:44 PM