Nur Saliawati Salberi


GURU sebuah sekolah menengah agama di Pulau Sebang, Alor Gajah, di Melaka, yang direman bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal dan seks luar tabii dipercayai parah selepas mencederakan diri sendiri.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam, semalam, ketika lelaki berusia 40-an itu berada di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Sumber berkata, lelaki itu ditemui dalam keadaan lemah di dalam lokap oleh anggota bertugas, sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Dia dipercayai memanjat jeriji besi lokap yang tingginya lebih tiga meter untuk mencederakan dirinya.

“Anggota bertugas yang menyedari kejadian kemudian mendapatkan bantuan kecemasan, sebelum lelaki itu di bawa ke hospital menggunakan ambulans,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, lelaki terbabit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka dan dilaporkan mengalami patah pinggang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan kejadian, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

NSTP semalam melaporkan, perbuatan seorang warden asrama sekolah berulang kali didakwa melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii, akhirnya terbongkar apabila mangsa yang juga pelajar di bawah jagaannya membuat laporan polis.

Warden asrama itu ditahan kelmarin dan direman selama tujuh hari bermula semalam.

Penahanan dilakukan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Perintah tahanan reman sehingga 26 Januari ini dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Melaka, Dorismah Mohd Idris.

Berita berkaitan

Perbuatan jijik warden asrama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 8:46 PM