SURIANI  bersama empat anaknya gembira menerima pakaian persekolahan baharu yang disumbangkan Allen.
SURIANI bersama empat anaknya gembira menerima pakaian persekolahan baharu yang disumbangkan Allen.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: “Saya bukan cari populariti, malah tidak mengharap perhatian sesiapa. Jika buat sesuatu kebaikan tak perlulah menunjuk-nunjuk, apa yang penting hati kena ikhlas.”

Demikian luahan lelaki dikenali sebagai Allen, 53, yang menjadi bualan penduduk Kerian selepas usahanya mendermakan pakaian sekolah kepada pelajar kurang berkemampuan tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.

Allen yang enggan gambarnya dirakam berkata, amalan itu sudah masuk tahun ketiga bagi membantu keluarga kurang berkemampuan tanpa mengira latar belakang kaum.

“Siapa saja boleh mai (datang) ambil, pelajar Cina, Melayu dan India semua saya bantu.

“Syarat cuma ambil gambar sekeping untuk rekod peribadi saya, itu saja,” katanya ditemui di rumahnya di Taman Kerian Tambahan, Pusat Bandar Parit Buntar, kelmarin.

Allen berkata, dia bukanlah golongan berada atau berjawatan tinggi, sebaliknya hanya pekerja kilang dan menjadi perantara bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan masyarakat.

“Sebenarnya seronok bantu orang susah dan saya percaya lagi kuat kita tolong, lagi besar balasan Tuhan beri,” katanya.

Penerima bantuan, Suriani Bukhari, 39, berkata, dia bersyukur kerana empat daripada lima anaknya yang bersekolah rendah menerima pakaian sekolah baharu hasil sumbangan Allen.

“Anak-anak gembira dan teruja dapat pakaian baharu dan saya turut bersyukur kerana dapat berjimat lebih RM200.

“Saya hanya suri rumah biasa manakala suami, Faizal Abd Manaf, 39, bekerja kampung, jadi amat sukar bagi kami menyediakan kelengkapan persekolahan baharu untuk empat anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 10:40 AM