Mohd Rizal Abdullah


LELAKI dirempuh dengan kereta sebelum disamun sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di Taman Bumiko di Miri, kelmarin.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, mangsa berusia 25 tahun dikatakan sedang berjoging di kawasan berkenaan sebelum dirempuh dari belakang oleh Perodua Axia dinaiki lima suspek lelaki.

Menurut sumber, suspek yang memakai topeng dengan seorang daripada mereka bersenjatakan parang meluru keluar dari kenderaan lalu membelasah mangsa.

Menurut sumber, suspek kemudiannya melarikan telefon dan rantai emas milik mangsa bernilai lebih RM3,000.

Sumber itu berkata, semua suspek kemudiannya melarikan diri meninggalkan mangsa bersendirian di kawasan berkenaan.

“Mangsa yang turut cedera di bahagian lutut akibat terjatuh selepas dirempuh kumpulan terbabit, kemudiannya bergegas membuat laporan polis di Balai Polis Miri berhubung kejadian,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan laporan itu dan kes sedang disiasat bagi mengesan suspek yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 3:12 PM