KEADAAN jenazah mangsa yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Perol, Kota Bharu, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN jenazah mangsa yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Perol, Kota Bharu, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


REMAJA lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dalam kejadian di Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dekat Perol, Kota Bharu, semalam.

Kemalangan berlaku jam 5 petang menyebabkan mangsa, Amirul Hakimie Sabri, 18, parah di kepala dan maut di lokasi kejadian.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dari arah Perol menghala ke Pasir Hor gagal mengawal kenderaan itu di laluan selekoh lalu melanggar besi pembahagi jalan di sebelah kiri jalan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan.

“Mangsa yang tinggal di Kampung Serdang Surau, Melor parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat.,” katanya hari ini.

Katanya, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 11:51 AM