Caption<KEADAAN kereta dan van yang terbabit dalam kemalangan di hadapan Balai Polis Serendah, Hulu Selangor, semalam. Foto Ihsan PDRM
Caption<KEADAAN kereta dan van yang terbabit dalam kemalangan di hadapan Balai Polis Serendah, Hulu Selangor, semalam. Foto Ihsan PDRM
Nor Azizah Mokhtar


PEMANDU lelaki maut selepas vannya dirempuh sebuah kereta yang cuba mengelak lori yang berhenti untuk pemeriksaan dalam sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis Serendah di Kilometer 35 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 malam, mangsa Khairul Anuar Hairuddin, 27, dari Taman Idaman, Serendah disahkan meninggal dunia jam 12.55 tengah malam hari ini ketika menerima rawatan di Hospital Selayang (HS).

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bak Phai berkata, mangsa memandu van Ford Econovan bersama seorang penumpang ketika dirempuh di bahagian hadapan oleh Honda Accord dipandu lelaki berusia 49 tahun.

“Pemandu Honda Accord dipercayai tidak menyedari ada sekatan polis dan keretanya yang dipandu laju cuba mengelak sebuah lori di hadapannya yang sedang berhenti untuk pemeriksaan.

“Kereta itu mengelak masuk ke laluan bertentangan dan bertembung secara hadapan dengan van mangsa menyebabkan van itu berpusing dan turut melanggar lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pemandu lori berusia 49 tahun tidak cedera, bagaimanapun pemandu Honda Accord parah di kaki serta kepala dan dikejarkan ke HS untuk rawatan.

“Penumpang van berusia 24 tahun cedera ringan di badan turut diberi rawatan di hospital sama.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 7:15 PM