Raja Noraina Raja Rahim


POLIS kini berusaha menjejaki individu yang sengaja mencetuskan panik dengan membuat panggilan ancaman bom di Hospital Pakar KPJ Seremban, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, polis yang menerima laporan kejadian pada 4.50 petang bergegas ke lokasi sebelum mengarahkan semua kakitangan dan pesakit mengosongkan bangunan.

“Panggilan berkenaan dibuat oleh seorang lelaki yang mendakwa ada bom di dalam bangunan berkenaan, namun pemeriksaan dilakukan polis tidak menemui sebarang objek meragukan.

“Berikutan itu, kita masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu yang membuat panggilan palsu itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah.

Semalam, Hospital Pakar KPJ Seremban gempar apabila menerima panggilan ancaman bom menyebabkan semua 117 pesakit wad biasa, lima pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 169 kakitangan diarah mengosongkan bangunan.

Hasil pemeriksaan selama dua jam oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Unit Anjing Pengesan (K9) di bangunan lapan tingkat itu mendapati tiada sebarang objek meragukan ditemui.

Selepas disahkan selamat, semua pesakit dibantu kakitangan dibenarkan masuk semula ke dalam bangunan.

Berita berkaitan

KPJ Seremban terima ancaman bom

[UPDATE] Hanya panggilan palsu

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 3:57 PM