LOKASI kejadian.
LOKASI kejadian.
Mohd Rizal Abdullah


EMPAT lelaki lari lintang-pukang selepas tindakan mereka mencuri hasil kebun di sebuah rumah di Jalan Miri-Lutong, di Miri, semalam, disedari penduduk.

Dalam kejadian 11.55 pagi itu, mereka lari meninggalkan dua guni berisi puluhan buah mangga dan rambutan.

Jurucakap Jawatankuasa Penduduk(JKP) Miri Malateh Mahmud berkata, sebelum kejadian, ada penduduk melihat empat lelaki berusia 20-an leka mengait rambutan dan mangga di dalam perkarangan rumah itu.

Beliau berkata, penduduk menghubungi pihak JKP yang kemudian bergegas ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, mereka terlebih dahulu melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian, penghuni tidak berada di dalam rumah berkenaan.

Selain itu, rumah sama pernah dipecah masuk lima kali, pada tahun ini.

Malateh berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu untuk tindakan lanjut.

“Kami percaya individu berkenaan turut terbabit dalam beberapa kejadian pecah rumah di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 3:45 PM