LOKASI kejadian anggota polis dan suspek yang dikejarnya terjatuh di Sungai Durian Mentangau. FOTO Rosli Ilham
LOKASI kejadian anggota polis dan suspek yang dikejarnya terjatuh di Sungai Durian Mentangau. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


“SAYA nak bungkus nasi ini, saya nak cepat pergi ke tempat lemas.”

Itu kata Konstabel Wan Mohamad Ariff Wan Yahaya, 28, yang menimbulkan rasa pelik rakan sekerjanya, sebelum dia terjatuh ke dalam sungai di Kampung Penyiram, Durian Mentangau, Dungun, malam tadi.

Rakan setugasnya, Koperal Mohd Sayuti Sani, 35, berkata, dia berasa pelik dengan rakan setugasnya itu ketika mereka berhenti makan di warung tidak jauh dari tempat kejadian.

Katanya, mereka bersama dua lagi rakan setugas, Koperal Mohd Nor Fazli Ibrahim, 31 dan Konstabel Zazali Omar, 33, menerima maklumat suspek yang memandu kereta yang dicurinya, bersembunyi di rumah rakannya di Kampung Penyiram.

“Kami bertolak dari Balai Paka dan sempat mengerjakan solat di masjid di situ sebelum saya meminta semua kawan setugas berhenti makan seketika di warung itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, arwah kelihatan tidak sabar menangkap suspek dan meminta mereka bertiga makan selepas menangkap suspek lalu bangun dan meminta pemilik warung membungkus makanan yang sudah dipesan.

“Saya membantah tindakannya itu dan akhirnya kami semua makan di situ dan ungkapan arwah kepada pemilik kedai itu untuk pergi ke tempat lemas amat pelik.

“Ketika membuat intipan kami menemui kereta Perodua Kembara yang dicuri itu berada di dalam kawasan rumah terbabit dan kami berhentikan kenderaan dan menghampiri kenderaan curi itu,” katanya.

Katanya, suspek yang terkejut dengan kehadiran polis bertindak melarikan diri dan mereka berempat bertindak mengejar suspek.

“Ketika itu Wan Mohamad Ariff mengejar di belakang suspek dan secara tiba-tiba dia dan suspek terjatuh dari tebing setinggi tujuh meter sebelum terjatuh ke dalam sungai.

“Dalam suasana gelap, kami tidak sangka ada sungai di situ dan saya bertiga dengan rakan setugas yang lain hampir terjatuh, namun sempat berpaut pada akar pokok,” katanya.

Mohd Sayuti berkata, beliau sempat menyuluh lampu ke dalam sungai itu dan mendapati arwah dan suspek sempat berenang cuba menyelamatkan diri sebelum kedua-dua mereka hilang.

“Saya segera menghubungi bilik gerakan memaklumkan kejadian itu. Kami sangat rapat dan sering bertugas bersama sepanjang dua tahun bekerja dengannya.

“Sebelum kejadian itu juga, dia memaklumkan ada bermimpi berjaya menahan suspek dan tidak sangka berlaku tragedi dalam operasi ini, ” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Penolong Penguasa Bomba, Rezuan Adnan berkata, operasi mencari kedua-dua mangsa disambung semula 8 pagi tadi.

Katanya, operasi membabitkan 18 anggota dan pegawai bomba, 20 pegawai dan anggota polis, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam dan 15 penduduk kampung.

“Pasukan mencari dan menyelamat menggunakan lapan bot bagi mencari kedua-dua mangsa di sungai terbabit termasuk di celah akar pokok,” katanya.

Berita berkaitan

Polis, suspek dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 1:23 PM