ANGGOTA polis memeriksa mayat Norma Pin yang ditemui terapung oleh orang awam. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
ANGGOTA polis memeriksa mayat Norma Pin yang ditemui terapung oleh orang awam. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

MAYAT dua beranak dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ditemui orang ramai terapung di dua lokasi berbeza di daerah Arau, hari ini.

Mayat Norma Pin, 64, berasal dari Sungai Petani, Kedah ditemui hanyut di Sungai Tambun Tulang, manakala mayat anaknya, Norzalina Baharom, 35, ditemui di Sungai Arau kira-kira 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari orang ramai pada 9.30 pagi berhubung kejadian itu.

“Mayat mangsa ditemui orang awam dalam keadaan terapung di sungai terbabit ketika penduduk melalui jalan berdekatan.

“Pada awalnya mereka beranggapan dua mayat berkenaan adalah kayu hanyut, namun selepas dilihat dengan teliti baru disedari objek itu adalah manusia,” katanya ketika dihubungi.

Nanda berkata, pihaknya sedang menyiasat punca kematian dua mangsa berkenaan.

“Jarak lokasi penemuan dua mayat berkenaan tidak jauh dan dipercayai kedua-dua mereka terjatuh ke dalam sungai bersama.

“Keadaan mayat juga tidak menunjukkan sebarang kesan kecederaan yang membawa kepada unsur jenayah, bagaimanapun kita masih menyiasat punca kematian mangsa,” katanya.

Kedua-dua mayat berkenaan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 1:55 PM