NOOR AQILAH. FOTO Arkib NSTP
NOOR AQILAH. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

MAHKAMAH Sesyen Selayang, hari ini, menetapkan 25 Oktober untuk sebutan semula kes Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, bayi lima bulan yang mayatnya ditemukan di dalam bahagian sejuk beku peti ais.

Ia bagi pihak pendakwaan menyerahkan dan menyediakan semua dokumen termasuk laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) serta bedah siasat mangsa kepada pihak pembelaan.

Hakim Rasyihah Ghazali menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie memaklumkan bahawa laporan DNA serta bedah siasat mangsa sudah diperoleh dan pihak pendakwaan memerlukan masa untuk menyediakan semua dokumen berkaitan kes itu.

Prosiding hari ini turut dihadiri peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff mewakili tertuduh Noor Aqilah Abd Rahman.

Pada 13 Julai lalu, Noor Aqilah, 33, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya bayi itu sehingga menyebabkan kecederaan pada kepala dan melupuskan mayat mangsa dengan menyembunyikan kematiannya.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi itu, menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada kepala.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wanita itu juga didakwa melupuskan mayat Adam Rayqal dengan niat menyembunyikan kematian supaya dia terlepas daripada hukuman, mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di rumah sewanya, di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves, antara 6.20 dan 6.50 petang, 3 Julai 2018.

Pada 3 Julai lalu, Adam Rayqal dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, sebelum mayatnya ditemukan anggota polis di dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah sama, lewat malam hari kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 12:12 PM