AZWANEE (dua dari kanan) bersama anaknya, Syed Muhammad Eijaz menemani Syed Azman yang kini terlantar menanggung derita akibat dilanggar lari dalam kemalangan di Taman Mayfair, Klebang, Melaka pada 26 November tahun lalu, ketika ditemui di rumahnya di Klebang Besar, hari ini. FOTO Nur Saliawati Salberi.
AZWANEE (dua dari kanan) bersama anaknya, Syed Muhammad Eijaz menemani Syed Azman yang kini terlantar menanggung derita akibat dilanggar lari dalam kemalangan di Taman Mayfair, Klebang, Melaka pada 26 November tahun lalu, ketika ditemui di rumahnya di Klebang Besar, hari ini. FOTO Nur Saliawati Salberi.
Nur Saliawati Salberi


“KEBAHAGIAAN kami diragut sekelip mata, dia yang dulunya seorang yang periang dan suka menyakat, kini terlantar kaku.

“Malah, anak tidak puas untuk bermanja dengannya,” luah isteri kepada seorang mangsa langgar lari, Azwanee Azhar, 28.

Azwanee berkata, suaminya, Syed Azman Syed Ahmad Badari, 32, kini bukan saja terpaksa menanggung derita akibat sikap tidak bertanggungjawab individu lain, malah turut tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Katanya, kehidupannya berubah 100 peratus selepas suaminya dipercayai menjadi mangsa langgar lari membabitkan kenderaan tidak dikenal pasti dalam kejadian kemalangan pada 26 November tahun lalu di Taman Mayfair, Klebang, Melaka.

“Akibat kemalangan itu, suami saya mengalami pendarahan di kepala sehingga tempurung kepalanya terpaksa dikeluarkan dan selepas itu dia koma kira-kira dua minggu.

“Tempoh itu amat perit dilalui walaupun dia mampu membuka mata, namun keadaannya berubah tidak lagi seperti insan normal lain, tiada lagi sikapnya yang ceria,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelab Mencari Keberkatan (KMK) di rumahnya di Klebang Besar, hari ini.

Azwanee berkata, walaupun dia dan suami diuji, namun bersyukur kerana mempunyai keluarga termasuk mentua yang banyak membantu kehidupan hariannya.

“Selain menguruskan suami, saya menumpukan perhatian kepada anak, Syed Muhammad Eijaz Syed Azman berusia dua tahun.

“Namun begitu, tidak semua orang di sekeliling faham situasi diri ini dan disebabkan kerap mengambil cuti untuk menjaga suami, saya kerap diperli rakan sekerja,” katanya yang bekerja di kilang di Batu Berendam.

Beliau berkata, selain bergantung kepada pendapatannya bagi menampung perbelanjaan keluarga, suaminya turut menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Menurutnya, pada awalnya agak sedih kerana suami gagal memperoleh pencen ilat berikutan tempoh caruman tidak matang, namun dia bersyukur kerana banyak pihak tampil membantu termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Untuk suami saja, perbelanjaan berjumlah RM1,500 sebulan termasuk lampin pakai buang, susu khas dan peralatan mencuci luka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 9:33 PM