Datuk Seri Musatapa Mohamed antara pemimpin kanan UMNO yang awal mengisytiharkan keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.
Datuk Seri Musatapa Mohamed antara pemimpin kanan UMNO yang awal mengisytiharkan keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.
Mohd Anwar Patho Rohman

DATUK Seri Hisahammuddin Hussein percaya pihak yang menyebarkan khabar angin kononnya beliau mengetuai gerakan membawa keluar Ahli Parlimen UMNO menjadi Bebas, sudah tidak dapat ‘cari makan’ dalam politik.

Sambil mengakui tidak tahu bagaimana cerita itu boleh timbul dan menjadi tular, Ahli Parlimen Semberong itu menganggap khabar angin itu dicipta oleh orang UMNO sendiri.

“Tak tahu saya. Biasalah dalam politik, kalau tak ada isu, mereka tak boleh cari makan. Cerita ini saya difahamkan diuar-uarkan daripada dalam parti kita sendiri,” katanya kepada NSTP menerusi WhatsApp, hari ini.

Semalam, bekas Naib Presiden UMNO itu menafikan desas-desus yang berlegar di media sosial kononnya beliau akan membawa sejumlah Ahli Parlimen keluar dari UMNO dan menjadi Bebas.

Beliau bukan saja menyifatkan laporan itu sebagai merepek, malah tidak benar sama sekali dan berpesan kepada ahli parti supaya tidak menari mengikut rentak pihak terbabit.

Hishammuddin turut menegaskan tiada pihak boleh merasuah dirinya sambil menganggap jawatan tidak penting berbanding kesetiaan kepada parti dan bangsa.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, penafian Hishammuddin itu membuktikan bekas Naib Presiden UMNO itu tidak terikut-ikut dengan rentak pihak lawan yang mahu melihat UMNO porak-peranda.

Katanya, pada ketika ini, pelbagai isu dan perkara timbul berkaitan UMNO namun semua ini adalah cabaran yang perlu dilalui ahli serta pemimpin UMNO.

“Dalam situasi ini, jangan sesekali UMNO terperangkap dengan mainan pihak lawan. Namun UMNO tetap berwaspada dan berhati-hati serta mengambil pelbagai langkah sepatutnya bagi menjaga keutuhan parti.

“Saya secara peribadi gembira dan bersyukur dengan penafian dibuat Hishammuddin apabila khabar angin timbul beliau akan meninggalkan UMNO bersama 30 Ahli Parlimen UMNO lain.

“Penafian ini jelas menunjukkan semua khabar angin adalah palsu. Apatah lagi kita sedia maklum Hishammuddin Hussin adalah pemimpin UMNO yang sangat setia kepada UMNO. Sudah pasti perkara seumpama ini tidak akan beliau lakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 9:58 PM