Mohd Hilmie Hussin


POLIS menahan dua individu dan merampas pelbagai jenis dadah sintetik termasuk peralatan memproses bahan terlarang itu bernilai RM1.29 juta dalam dua serbuan, semalam.

Rampasan dilakukan susulan penahanan lelaki, 43, di sebuah kondominium di Tengkera pada 9.45 pagi dan lelaki, 34, di Kilometer 215 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada 5 petang.

Ketua Polis Negeri Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, suspek yang diintip anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri sejak sebulan lalu ditahan dalam sebuah kereta di kediamannya di Tengkera.

Katanya, hasil soal siasat suspek membawa polis ke kondominiumnya dan menemui dadah heroin base seberat 3,860 gram (g), 137,030 g kafein, 6,960 pil Erimin 5 dan pelbagai peralatan memproses dadah seperti dapur.

“Suspek yang tidak bekerja dan tiada rekod jenayah kemudian membawa polis ke sebuah lagi kondominium di Bandar Hilir jam 5 petang sebelum merampas heroin seberat 592 g, ketamin (7,944 g) dan syabu (100 g),” katanya pada sidang media di IPK Melaka, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Sun Teoh Tia dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.

Menurutnya, dalam serbuan kedua pula polis menemui dadah jenis syabu seberat empat kilogram dalam kereta Mercedes-Benz SLK200 dipandu suspek.

“Suspek yang bekerja sebagai buruh dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Apabila ditahan, dia cuba menyogok pegawai peronda dengan wang tunai RM100,000 sebelum diberkas.

“Selain dadah, polis turut merampas wang tunai RM100,00 yang disimpan di bawah tempat duduk pemandu. Siasatan juga mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihak polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 1:53 PM
WANG tunai yang dirampas daripada suspek. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
WANG tunai yang dirampas daripada suspek. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
RAJA Shahrom (tengah) bersama Sun (empat kiri) dan Afzanizar (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
RAJA Shahrom (tengah) bersama Sun (empat kiri) dan Afzanizar (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber