SANDERASEGARAN dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi  Ipoh, hari ini. FOTO L Manimaran
SANDERASEGARAN dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini. FOTO L Manimaran
Shamsul Kamal Amarudin


PENGANGGUR dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya, kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Datuk Che Ruzima Ghazali membuat keputusan itu terhadap N Sanderasegaran, 30, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Sanderasegaran dituduh membunuh S Durga Devi yang ketika kejadian berusia 17 tahun di rumah No 4, Kampung Batu Besi, Ladang Sengat, Simpang Pulai antara jam 11 malam 27 Februari 2016 hingga jam 6 pagi 28 Februari tahun sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ketika pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 11 Mac 2016.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan 12 saksi manakala tiga saksi pihak pembelaan termasuk tertuduh, dikemukakan ketika membela diri.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Irwan Suainbon dan How May Ling, manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh.

Terdahulu, Che Ruzima ketika memberikan keputusannya berkata, ketika membela diri, tertuduh menyatakan mangsa dibunuh oleh perompak yang datang ke rumahnya pada masa kejadian.

Beliau berkata, mahkamah mendapati kejadian rompakan itu adalah rekaan semata-mata dan pemikiran yang mudah untuk membela diri.

Menurutnya, ini kerana tertuduh didapati hanya cedera ringan di tangan berbanding 37 kesan kecederaan pada tubuh mangsa manakala ahli kimia mengesahkan analisis DNA menunjukkan hanya DNA tertuduh serta mangsa sahaja ditemui di tempat kejadian.

Katanya, adalah tidak munasabah perompak memukul mangsa secara berterusan dalam tempoh panjang iaitu antara jam 11 malam hingga 6 pagi kerana kebiasaannya perompak akan berada dalam tempoh singkat dalam sesebuah rumah dicerobohi kerana bimbang ditangkap.

“Pada masa sama, barang kemas mangsa masih terdapat pada tubuhnya ketika dibawa untuk proses bedah siasat di hospital, yang menunjukkan adalah mustahil perompak melarikan diri tanpa mengambil barang kemas berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara mangsa G Tamal Sellvi, 37, bersyukur kerana pembunuh anak saudaranya menerima hukuman setimpal.

“Sebelum datang ke mahkamah hari ini, saya berdoa agar keadilan dapat ditegakkan kerana kami kehilangan seorang ahli keluarga,” katanya.

Katanya, keluarga mereka tidak boleh menerima perbuatan seseorang yang sanggup membunuh atas nama cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 11:44 AM