Sarah Zulkifli


MAHKAMAH Majistret Petaling Jaya memberi kebenaran kepada polis, hari ini, untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin Hassan yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Jun lalu.

Difahamkan, permohonan itu dibuat untuk mendapatkan mayat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd bagi menjalankan bedah siasat kali kedua.

Permohonan itu dibuat pegawai penyiasat kes di dalam kamar Majistret Nor Ariffin Hisham.

Menurut sumber, proses menggali semua kubur itu akan dibuat pada Rabu ini.

Terdahulu, beberapa ahli keluarga Nazrin tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya jam 9.40 pagi sebelum keluar kira-kira 40 minit kemudian.

Pada 4 September lalu, isteri Allahyarham dan bekas suaminya, masing-masing berusia 43 tahun ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.

Turut ditahan reman, anak tiri Nazrin berusia 14 dan 16 tahun pada 9 September lalu.

Selain itu, pada 24 September lalu, sepasang suami isteri yang juga adik ipar kepada Nazrin pula direman empat hari.

Bagaimanapun, kesemua suspek dibebaskan selepas tamat reman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 12:48 PM
AHLI keluarga Nazrin keluar dari mahkamah selepas pihak polis diberi kebenaran untuk mengali semula kubur Allahyarham, hari ini. FOTO/VIDEO Mohamad Shahril Badri Saali
AHLI keluarga Nazrin keluar dari mahkamah selepas pihak polis diberi kebenaran untuk mengali semula kubur Allahyarham, hari ini. FOTO/VIDEO Mohamad Shahril Badri Saali