Caption<WANG tunai yang ditemui semula daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
Caption<WANG tunai yang ditemui semula daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


MUSLIHAT kerani akaun membuat laporan polis mendakwa dirinya disamun dua lelaki terbongkar apabila dia rupa-rupanya berpakat dengan rakannya untuk melarikan wang berjumlah RM24,000 milik syarikat tempatnya bekerja.

Suspek berusia 21 tahun sebelum itu hadir ke balai polis untuk membuat laporan kononnya cermin keretanya di tempat duduk penumpang hadapan dipecah dua lelaki bersenjata tukul yang menaiki sebuah motosikal pada 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek memaklumkan dia diekori dua lelaki selepas mengeluarkan wang milik syarikatnya di sebuah bank di Juru.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudian mendakwa dua lelaki itu bertindak memecahkan cermin kereta yang dipandunya di kawasan berhampiran.

“Suspek memaklumkan wang berjumlah RM24,000 yang dikeluarkannya itu kemudian dilarikan dua lelaki berkenaan.

“Dia (suspek) yang terkejut dengan kejadian itu tidak dapat berbuat apa-apa, malah mendakwa tidak sempat mengecam identiti dan nombor plat motosikal yang ditunggang kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati kejadian itu adalah palsu lalu menyerbu sebuah rumah di Taman Kempas, Kulim, Kedah untuk menahan suspek yang membuat laporan berkenaan pada 9 malam semalam.

“Suspek mengaku dia dan dua rakannya berpakat untuk melarikan wang itu dengan mengadakan cerita disamun serta membuat laporan polis palsu.

“Polis kemudian membuat tangkapan ke atas rakan suspek berusia 26 tahun di Taman Impian Indah pada 12.05 tengah malam (hari ini).

“Manakala, suspek ketiga berusia 27 tahun yang menyembunyikan wang itu pula ditahan 30 minit kemudian tidak jauh dari lokasi suspek kedua ditahan,” katanya.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas semula wang tunai yang dilarikan ketiga-suspek termasuk dua buah kereta.

“Ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 9:42 PM