GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan


PADAH membeli telefon bimbit yang dicuri, seorang suri rumah ditahan polis di rumahnya di Kampung Perlis, Bagan Dalam, Butterworth, kelmarin.

Wanita berusia 33 tahun itu ditahan jam 7.30 malam selepas polis berjaya menjejakinya susulan penahanan suspek utama iaitu seorang lelaki berusia 20-an.

Sebelum itu, pada 29 Ogos lalu, seorang lelaki membuat laporan polis selepas motosikalnya hilang bersama beg pinggang yang mengandungi dua telefon bimbit.

Dalam laporannya, mangsa mendakwa dia mengenali suspek yang melarikan motosikalnya itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa bagaimanapun berjaya menemui suspek yang ketika itu berada di kawasan Flet Teluk Indah, Perai.

Menurutnya, mangsa kemudian menahan lelaki terbabit sebelum dia menghubungi polis memaklumkan kejadian.

“Susulan daripada itu, anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan menahan suspek.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku mencuri motosikal bersama dua telefon bimbit mangsa,” katanya.

Katanya, suspek turut memberitahu dia menjual motosikal kepada seorang lelaki manakala sebuah daripada telefon bimbit itu dijual kepada seorang wanita.

“Polis kemudian berjaya menahan seorang wanita yang juga pembeli telefon bimbit terbabit manakala lelaki yang membeli motosikal mangsa sedang dikesan.

“Kedua-dua suspek terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 6:52 PM