PENGUNJUNG menyifatkan suasana di Kopitiam Aik Seng  unik dan istimewa.
PENGUNJUNG menyifatkan suasana di Kopitiam Aik Seng unik dan istimewa.
Khalid Latip

Sarikei: Mungkin tidak ramai menyedari di sebalik kewujudannya sejak 70 tahun lalu, Kopitiam Aik Seng di sini menjadi simbol perpaduan dan keharmonian penduduk berbilang bangsa di bandar ini.

Terletak di Jalan Wharf di tengah-tengah bandar ini, semua bangsa boleh duduk semeja menikmati ‘roti kahwin’ yang dibakar menggunakan arang, bersama telur setengah masak dan kopi giling beraroma wangi di premis ini.

Pelanggan, Wong Kai Meng, 65, berkata, kopitiam itu bukan sekadar mercu tanda Sarikei malah dilihatnya sebagai ikon penyatuan penduduk setempat yang berbilang bangsa dan agama.

“Keistimewaan roti bakar dan kopi kopitiam ini terkenal sejak dulu, bukan sahaja dalam kalangan anak Sarawak bahkan sehingga ke Semenanjung. Memang beginilah caranya sejak dulu hingga kini.

“Di sinilah saya bersama beberapa rakan pelbagai bangsa duduk semeja, berkumpul dan berbual mengenai keluarga dan kehidupan pada setiap pagi serta minum petang,” katanya.

Ini turut diakui Abdul Halim Hussien, 43, yang berasal dari Pahang, sambil menyifatkan suasana di kopitiam itu sememangnya unik dan istimewa.

“Kopitiam Aik Seng menyatukan kita semua sebagai warga Malaysia, malah saya cukup berbangga melihat suasana ini masih wujud di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, pemilik Kopitiam Aik Seng, Wong Mee Mee, 36, berkata, perniagaan keluarga itu diasaskan datuknya, Wong Ee Nong, pada 1942, dan dia cukup berbangga dapat meneruskan legasi berkenaan.

ADUNAN unik roti arang  memikat selera pengunjung
ADUNAN unik roti arang memikat selera pengunjung

“Dalam dialek Foochow, Aik Seng membawa makna yang baik. Tentunya datuk memilih nama yang baik untuk kopitiam ini dan percaya dengan tuah bagi memastikan perniagaan ini kekal untuk diwarisi oleh keturunannya.

“Premis yang anda lihat hari ini adalah tapak asal Kopitiam Aik Seng. Reka bentuk dalamannya juga tidak banyak berubah. Kami mengekalkannya sebagai warisan keluarga sejak turun temurun, sekali gus mengembalikan nostalgia lama,” katanya.

Mee Mee berkata, sejak di peringkat awal lagi perniagaan itu, Kopitiam Aik Seng mengamalkan cara penyediaan roti menggunakan arang kayu kepada pelanggan.

Katanya, roti dibakar menggunakan ketuhar moden adalah perkara biasa, namun tidak ramai generasi hari ini mengetahui keenakan masakan menggunakan dapur arang.

“Kami cuma meneruskan kesinambungan legasi datuk. Ayah saya, Wong Tien King yang berumur 69 tahun mengubah sedikit resipi ‘seri kaya’ sehingga menjadikan rasanya berbeza daripada yang dijual di kedai kopi lain,” katanya yang juga graduan pengurusan dan pemasaran Universiti Sains Malaysia (USM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 11:49 AM