Mahanum Abdul Aziz dan Mohd Iskandar Ibrahim

Kuala Lumpur: Pelbagai kajian perlu dilakukan ke atas lebih banyak tanaman yang mampu memberi manfaat kepada negara selain kelapa sawit dan getah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kajian terbabit penting supaya lebih banyak produk dihasilkan daripada sumber tanaman di negara ini.

“Getah dan kelapa sawit bukan berasal dari Malaysia. Getah dibawa dari Brazil manakala kelapa sawit dari Afrika Barat namun tanaman ini dimanfaatkan untuk memberi pulangan yang amat baik kepada negara.

“Sebab itu saya merasakan lebih banyak kajian perlu dilakukan ke atas lebih banyak tanaman supaya kita dapat menghasilkan produk yang mampu menjana pendapatan kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa 2018 (IRGCE 2018) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

TUN Mahathir merasmikan 9th International Rubber Glove Conference and Exhibition (IRGCE) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
TUN Mahathir merasmikan 9th International Rubber Glove Conference and Exhibition (IRGCE) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Perasmian persidangan selama tiga hari bermula hari ini turut dihadiri Menteri Industri Utama, Teresa Kok dan Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low Jau Foo.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilakukan terhadap tanaman getah sebagai contoh memberi manfaat kepada negara.

“Kita dahulu adalah pembekal getah terbesar di dunia namun tidak lagi, sebaliknya hari ini kita sudah menjadi pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia.

“Sudah tentu getah memainkan peranan penting dalam mengehadkan jumlah kelahiran. Bayangkan dunia tanpa kondom, populasi dunia kini seramai lebih tujuh bilion mungkin bertambah kepada lebih 10 bilion,” katanya berseloroh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 11:33 AM