Anwar
Anwar
Nor Afzan Mohamad Yusof

DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi amaran terhadap kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tidak menggunakan kaedah licik untuk menang dalam pemilihan parti.

Malah beliau mengakui tidak mahu terseret dalam kemelut perebutan jawatan sebagai Timbalan Presiden antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Katanya, semua kepimpinan parti seharusnya bersaing secara sihat dan beretika kerana tindakan tertentu termasuk membeli undi atau memfitnah adalah bertentangan dengan prinsip parti.

“Jawatankuasa pemilihan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sebarang salah laku dilakukan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan budayawan di pejabatnya, hari ini.

Anwar berkata beliau tidak pernah menggunakan Rafizi sebagai alat untuk keuntungan politiknya sendiri, lebih-lebih lagi Naib Presiden PKR itu mendapat perhatian awam.

Mengenai dakwaan bahawa beliau tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri, katanya spekulasi itu wujud sejak 1998, sebaliknya terus sabar menanti hingga 20 tahun.

Sambil memberikan keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengakui ada hak membangkitkan sebarang isu.

Presiden PKR itu turut memaklumkan kepada Dr Mahathir bahawa ada cubaan untuk memburukkan hubungan mereka namun akan mengelakkan situasi berkenaan.

“Kami berdua bukan saja matang tetapi bekerja keras sebelum bekerjasama membentuk pasukan yang hebat seperti hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 11:24 PM