KEADAAN bumbung tercabut dan siling runtuh di tingkat tiga SMK St George, Georgetown dalam kejadian angin kencang pada Jumaat lalu. Gambar kecil, Nicholas. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
KEADAAN bumbung tercabut dan siling runtuh di tingkat tiga SMK St George, Georgetown dalam kejadian angin kencang pada Jumaat lalu. Gambar kecil, Nicholas. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
Zuhainy Zulkiffli


PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St George, Georgetown berharap kerja membaiki beberapa struktur bangunan sekolah yang rosak dalam kejadian angin kencang minggu lalu, dapat dipercepatkan.

Ia berikutan struktur berkenaan dikhuatiri tidak mampu bertahan sehingga penghujung tahun ini, sekali gus membahayakan keselamatan pelajar.

Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Nicholas Fletcher berkata, sekolah terbabit antara tertua di Pulau Pinang dan beberapa kerosakan sudah dikesan lebih dua tahun lalu.

Beliau berkata, beberapa struktur bangunan sekolah sudah rosak dimakan anai-anai selain akar daripada pokok berusia puluhan tahun menjalar di bawah tanah menyebabkan lantai rosak.

“Namun keadaan bertambah buruk selepas kejadian angin kencang pada Jumaat lalu dan bangunan asrama menempatkan 47 pelajar terjejas teruk menyebabkan harta benda dan buku sekolah turut musnah.

“Dalam kejadian itu, siling bumbung asrama jatuh dan hujan mencurah masuk ke dalam bilik, sekali gus menyebabkan kerosakan pada barangan elektrik serta pendawaian.

“Mujurlah ketika itu pelajar tiada di dalam bilik berkenaan dan kini semua bilik di tingkat tiga itu ditutup kerana khuatir mendatangkan bahaya kepada penghuni,” katanya kepada media di Georgetown, hari ini.

Terdahulu, Nicholas dan Pengetua sekolah itu, Ku Mariam Ku Iskandar turut membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Lee Chun Kit meninjau sekitar kawasan dan struktur terjejas.

Nicholas berkata, pelajar yang terjejas kini ditempatkan di aras bawah dan tingkat dua asrama berkenaan dan terpaksa berhimpit dengan pelajar lain.

Katanya, kebanyakan barangan milik pelajar termasuk buku serta harta benda sekolah seperti tilam dan bantal sudah tidak boleh digunakan.

“Malah keadaan tidak selesa itu dikhuatiri mempengaruhi emosi pelajar bagi menghadapi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Begitu juga dewan sekolah yang rosak dalam kejadian itu menyebabkan Hari Anugerah Cemerlang pada Oktober depan terpaksa diadakan di Dewan Sri Pinang.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkaitan sudah melihat keadaan ini dan ia akan membabitkan kos sebanyak RM1 juta.

“Cuma tarikh mula kerja pembaikan masih belum diputuskan dan kami berharap usaha itu dapat dipercepatkan kerana ia membabitkan keselamatan pelajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 11:37 PM