DADAH jenis syabu yang dirampas di Pulau Pinang dan Kedah  pada Mei lalu. Polis siasat kemungkinan rampasan itu ada kaitan dengan penemuan dadah di pusat beli-belah di Ampang Jaya.
DADAH jenis syabu yang dirampas di Pulau Pinang dan Kedah pada Mei lalu. Polis siasat kemungkinan rampasan itu ada kaitan dengan penemuan dadah di pusat beli-belah di Ampang Jaya.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Safeek Afandi Razali

Kuala Lumpur: Jadikan kawasan parkir pusat beli-belah sebagai lokasi transit sementara untuk menyimpan dadah bernilai jutaan ringgit sebelum diseludup ke luar negara.

Kegiatan sindiket didalangi warga tempatan itu dibongkar apabila polis merampas sejumlah dadah syabu dianggarkan bernilai lebih RM7 juta hasil serbuan di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah terkemuka di Ampang Jaya pagi, kelmarin.

Rampasan itu dianggarkan seberat lebih 150 kilogram (kg) yang diseludup masuk ke negara ini berasal dari Myanmar.

Sumber berkata, sekurang-kurangnya lapan suspek warga tempatan diberkas polis dalam rampasan yang dianggap antara kejayaan terbesar dilakukan polis tahun ini.

Menurutnya, sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dibantu pihak berkuasa dari China melakukan serbuan di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah kira-kira jam 8 pagi, kelmarin.

“Hasil serbuan, lapan lelaki tempatan dipercayai ahli sindiket dadah yang mengatur penyeludupan itu diberkas.

“Siasatan terhadap kenderaan pacuan empat roda milik suspek yang diletakkan ditemui di kawasan itu menemui bungkusan syabu yang dipercayai baru diseludup ke negara ini,” katanya.

Menurutnya, semua dadah seberat lebih 150kg itu dianggarkan bernilai lebih RM7 juta dan mampu meningkat hingga tiga kali ganda sekiranya diseludup ke Indonesia.

“Sejumlah wang tunai dan barang kemas turut dirampas selain dua kenderaan mewah milik sindiket berkenaan,” katanya.

Difahamkan, semua dadah itu dipercayai diseludup melalui jalan darat bermula dari Myanmar ke Thailand sebelum melepasi kawalan sempadan di utara tanah air.

“Ada kemungkinan Malaysia hanya dijadikan transit sementara sebelum semua dadah itu mahu dihantar ke negara ketiga. Bagaimanapun polis masih menyiasat modus operandi sindiket itu,” katanya.

Polis turut menyiasat kemungkinan sindiket ditumpaskan itu ada kaitan dengan rampasan dadah syabu bernilai RM5.6 juta dilakukan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman di Georgetown, Pulau Pinang dan Kedah pada 2 Mei lalu.

Dalam serbuan itu, polis menahan enam ahli sindiket dan merampas dadah seberat 92.6kg dipercayai mahu diedar ke Sumatera, Indonesia.

Polis sebelum ini turut menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan lima individu dan merampas lebih 130kg pelbagai jenis bahan larangan dianggarkan bernilai RM6.2 juta di Kajang, Selangor pada 3 Mac lalu.

Rampasan besar dadah syabu seberat 201.3kg bernilai RM14.1 juta turut dilakukan STING di Ayer Keroh, Melaka pada 4 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 11:18 AM