FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LELAKI berusia 48 tahun ditemui maut dalam kereta yang berkunci di Jalan USJ 1/5 di Subang Jaya, semalam.

Dalam kejadian pada jam 2 petang itu, lelaki berkenaan ditemui oleh orang awam yang kemudian memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian sebelum mendapati lelaki berkenaan terbaring dalam kereta yang berkunci.

“Anggota bomba dipanggil bagi membantu memecahkan cermin berkenaan. Siasatan awal mendapati mangsa seorang penganggur.

“Polis turut menemui satu nota yang diletakkan di dalam kenderaan berkenaan bertulis dia sangat tertekan dengan kehidupannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Azlin berkata, mangsa dipercayai tinggal seorang diri di sebuah kondominium di USJ 1.

"Mangsa dipercayai mati akibat terhidu gas karbon monoksida. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 12:32 AM