Hasbi Sidek


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 18,927 beg baja dianggarkan bernilai lebih RM1 juta di Batu 17 Guar Chempedak, Kedah, semalam.

Serbuan pada jam 9.25 pagi dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas pemiliknya dipercayai melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam satu kenyataan mengesahkan baja yang dirampas dibekalkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melalui kontrak kerajaan di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).

“Baja yang dirampas itu dibiayai di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan yang dikhaskan untuk kegunaan pesawah padi di seluruh negara bagi mengurangkan kos pengeluaran di samping meningkatkan pendapatan.

“Dalam serbuan itu, jumlah baja yang dirampas sebanyak 18,927 beg dianggarkan bernilai RM1,001,356. Baja terbabit dipindahkan ke suatu lokasi simpanan yang dikawal oleh pihak keselamatan.

“Ini adalah rampasan kedua pada bulan ini. Kementerian amat kesal dengan penyelewengan dan salahguna baja yang sepatutnya bertujuan untuk dimanfaatkan oleh pesawah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bekerjasama dengan KPDNHEP dan SPRM akan berusaha keras untuk memerangi ketirisan dalam membelanjakan peruntukan kerajaan di samping memastikan kegiatan tidak berintegriti dihapuskan.

“Siasatan masih dijalankan bagi memastikan pihak yang terbabit dalam kegiatan penjualan baja di pasaran gelap dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 9:09 PM