LOKASI kemalangan membabitkan van dan treler di Jalan Kampung Kesagaan, Pitas, semalam. Anggota bomba membantu mangsa kemalangan (gambar kecil). FOTO Ihsan JBPM
LOKASI kemalangan membabitkan van dan treler di Jalan Kampung Kesagaan, Pitas, semalam. Anggota bomba membantu mangsa kemalangan (gambar kecil). FOTO Ihsan JBPM
Recqueal Raimi


LELAKI maut selepas van dipandunya dirempuh treler membawa muatan kayu di Jalan Kampung Kesagaan, Pitas, semalam.

Kejadian berlaku pada 3.20 petang menyebabkan mangsa Muksin Mambong, 40, parah di kepala, badan dan kaki sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pitas pada 7.55 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati treler dipandu lelaki, 32, dari arah Kota Marudu menghala ke Pitas, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Berikutan itu, treler berkenaan terbalik lalu menggelongsor ke hadapan sebelum bertembung dengan van dan sebuah Toyota Hilux.

“Keadaan jalan sedikit berselekoh dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian sebenar,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pemandu treler turut mengalami kecederaan pada kaki manakala wanita, 27, yang memandu Toyota Hilux tidak cedera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Mohd Izaan berkata, sebuah ambulans yang dalam perjalanan pulang selepas membantu mangsa di lokasi kemalangan terbabas ke dalam parit, namun tiga kakitangan tidak cedera.

Beliau menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial kononnya kemalangan itu berlaku di Jalan Marak Parak - Ranau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 9:09 AM