MESYUARAT Majlis Raja-Raja.
MESYUARAT Majlis Raja-Raja.
Luqman Arif Abdul Karim


DAKWAAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa Majlis Raja-Raja tidak bertindak berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak benar.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, ketika menyangkal kenyataan itu menjelaskan, Ketua Pesuruhjaya, Timbalan dan pegawai kanan SPRM dititahkan menghadap baginda sekalian bagi menyembahkan taklimat yang berkaitan pada 2015.

Susulan pertemuan itu, katanya, satu kenyataan dikeluarkan bagi menunjukkan bahawa Duli Yang Maha Mulia memberikan perhatian berat terhadap isu 1MDB, mengikut ruang lingkup peranan dan kuasa raja-raja berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

"Kenyataan ini dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertarikh 6 Oktober 2015," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, hari ini bahawa Majlis Raja-Raja tidak bertindak mengenai 1MDB walaupun barisan tertinggi suruhanjaya berkenaan mengadap Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja pada 2015.

Pada 6 Oktober 2015, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi kenyataan media menzahirkan keprihatinan terhadap keresahan dalam kalangan rakyat yang menyentuh kritikan terhadap kredibiliti dan integriti kerajaan ketika itu.

Sehubungan itu, Raja-Raja Melayu menitahkan kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB, selain mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak terbabit.

Baginda sekalian turut menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur supaya usaha serta maksud siasatan berkenaan berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 7:17 PM