RUMAH Zaidah musnah dalam kebakaran di Kampung Tenggayun, KM56, Jalan Johor, Pontian. FOTO Mary Victoria Dass
RUMAH Zaidah musnah dalam kebakaran di Kampung Tenggayun, KM56, Jalan Johor, Pontian. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


“KAMI memang tiada semangat untuk membuat persiapan raya dan tidak menjangka ia menjadi petanda keluarga ditimpa musibah pada Ramadan ini,” kata Zaidah Hamzah, 46.

Katanya, mereka lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman pusaka berusia 20 tahun musnah dalam kebakaran di Kampung Tenggayun, KM56, Jalan Johor, Pontian di Pontian petang kelmarin.

Zaidah berkata, kejadian berlaku pada jam kira-kira 4.30 petang dan disedarinya apabila tiba ke kediaman selepas hampir sejam meninggalkan rumahnya.

Menurutnya, dia yang membawa pulang anak bongsunya dari sekolah agama selain dua adik perempuan selepas tamat waktu bekerja terkilan melihat kejadian terbabit.

Katanya, kemudian dia menghubunginya jirannya bagi mendapatkan bantuan serta menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat berhampiran.

“Kami gagal menyelamatkan barangan kerana api marak hampir ke seluruh ruangan kediaman.

“Malah motosikal jenis Yamaha berusia lebih 10 tahun milik bapa mentua juga musnah hingga mengakibatkan kami menanggung kerugian keseluruhan kira-kira RM20,000,” katanya.

Zaidah berkata, buat masa ini, dia sekeluarga tinggal di rumah jiran sementara memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) berhampiran.

Menurutnya, keluarganya berharap permohonannya untuk mendapatkan kediaman PPR dipertimbangkan kerajaan negeri.

“Suami, Rozi Taib, 51, bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,500 manakala saya penjaja makanan ringan serta dua orang adik perempuan berusia 32 dan 35 tahun hanya bekerja kilang.

“Keluarga kami juga masing menanggung empat anak bersekolah dan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berusia antara 8 hingga 18 tahun dan tempoh kami untuk memulihkan keadaan mungkin memakan masa beberapa tahun.

“Buat masa ini saya tidak berfikir berkaitan soal menyambut Aidilfitri namun kami sekeluarga masih tidak ketinggalan menunaikan ibadat berpuasa dan reda dengan dugaan Allah,” katanya.

Zaidah berkata demikian selepas menerima sumbangan barangan keperluan bernilai RM1,000 daripada Pasaraya Econsave Cash And Carry di Pontian di sini hari ini.

Hadir menyampaikan sumbangan, Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam.

Mas Imran berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan keluarga ditimpa malang itu daripada Alumni Sekolah Dato’ Penggawa Barat, Pontian.

“Kami berharap sumbangan berkenaan mampu meringankan beban keluarga terbabit,” katanya ketika ditemui hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 12:44 PM