PUI  (kanan) memberi bantuan kerusi roda kepada Eh Chen yang kudung kaki kanan akibat kencing manis sejak lima tahun lalu.
PUI (kanan) memberi bantuan kerusi roda kepada Eh Chen yang kudung kaki kanan akibat kencing manis sejak lima tahun lalu.
HM Digital

Tumpat: Sebagai anak lelaki tunggal, dia diharap menjadi tulang belakang keluarga dan menjaga ibunya yang uzur.

Namun semuanya berubah apabila Eh Chen Eh Kam, 49, menghidap penyakit kencing manis kronik dan terpaksa bergantung kepada ihsan ibunya, Mek Kedi Eh Shok, 67, terutama selepas kaki kanannya dipotong.

Berikutan itu, pergerakannya terbatas dan perlu dibantu Mek Kedi yang juga pernah menderita kerana penyakit kanser usus.

Eh Chen berkata, ketika ibunya disahkan menghidap kanser usus pada 2013, dia yang menguruskan ibunya termasuk berulang-alik
ke hospital untuk menerima rawatan sehingga beransur sembuh.

“Tapi kini, ibu pula yang perlu menguruskan saya yang sudah tidak berupaya.

“Untuk mandi saya masih boleh bergerak dengan mengesot ke bilik mandi
di luar rumah, namun untuk buang air, ibu tolong angkat,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Chat, semalam.

Menurutnya, dia juga tidak dapat lagi bekerja sebagai tukang rumah dan kini mereka sekeluarga hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima Mek Kedi berjumlah RM120 sebulan.

Terdahulu, Eh Chen dan ibunya menerima kunjungan Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang menyampaikan bantuan kerusi roda dan makanan.

Presiden KKCK, Pui Tiong Lam berkata, dia akan berusaha mendapatkan sumbangan kaki palsu buat Eh Chen supaya lelaki itu dapat berjalan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 4:57 AM