Fahmy Azril Rosli

Cheras: Proses rundingan Pakatan Harapan (PH) berhubung tiga portfolio kanan dalam kerajaan membabitkan jawatan Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan diputuskan secara harmoni dan muafakat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berkata, perbincangan semalam cukup baik, positif dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail gembira sekali gus PH dapat meneruskan tradisi yang cukup positif.

“Proses itu jalan baik dan harmoni kerana sokongan rakyat kepada PH terlalu besar. Jangan kita mengecewakan harapan tinggi rakyat terhadap kepemimpinan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah dalam bentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

“Banyak perbincangan yang perlu diteruskan dalam pembentukan kerajaan baharu persekutuan. Perbincangan berjalan cuma dalam proses berlaku kelmarin Datuk Seri Anwar tak dapat hadir mesyuarat itu. Sebab itu, Perdana Menteri datang ke hospital dan kita hargai komitmen Dr Mahathir.

“Sebab itu, Anwar menyatakan perbincangan itu mesti diteruskan dan mestilah secara menyeluruh supaya pandangan semua parti harus dihormati dan ini tradisi cukup baik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menyifatkan pengumuman berhubung pelantikan tiga portfolio kanan dalam kerajaan membabitkan jawatan Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan.

 Azmin   menjawab soalan media selepas berjumpa  Anwar   yang mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi Cheras.
Azmin menjawab soalan media selepas berjumpa Anwar yang mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi Cheras.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 10:31 AM