Musa (kiri) mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Juhar di Istana Negeri, Kota Kinabalu, malam tadi. FOTO Ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
Musa (kiri) mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Juhar di Istana Negeri, Kota Kinabalu, malam tadi. FOTO Ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
Suzianah Jiffar dan Olivia Miwil


PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Istana Negeri, Kota Kinabalu, malam tadi.

Musa, 67, yang menjadi Ketua Menteri sejak 2003 menyempurnakan upacara angkat sumpah pada 11.05 malam di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Dalam pada itu, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN turut mengangkat sumpah sebagai Menteri Kabinet Sabah.

Mereka ialah Datuk Seri Masidi Manjun, Datuk Hajiji Noor, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Bobbey Suan, Datuk Ellron Angin, Datuk Bolkiah Ismail, Datuk Jahid Jahim, Datuk Masiung Banah, Datuk Musbah Jamli dan Datuk Anita Baranting.

Musa sebelum ini memberitahu, semua 29 ADUN BN bekerjasama dengan dua ADUN Parti Solidariti Tanahairku (STAR) bagi membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah menerusi 31 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tengah hari semalam, Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama PKR dan DAP dilaporkan akan menubuhkan kerajaan selepas Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mengumumkan keluar BN dan membawa lima ADUN untuk menyertai pakatan terbabit.

Bagaimanapun, lima ADUN terbabit, Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Ewon Benedick (Kadamaian), Datuk Bobbey Ah Fang Suan (Nabawan), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk Masiung Banah (Kuamut) menyatakan pendirian kekal dalam BN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 12:37 AM