FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nur Saliawati Salberi


WANITA warga emas maut selepas dirempuh sebuah van, ketika mangsa melintas jalan di Kilometer 3, Jalan Selandar-Kesang, Jasin, di Melaka, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, Che Lon Ishak, 81, maut di tempat kejadian selepas tercampak sejauh kira-kira dua meter.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, berdasarkan siasatan awal, sebelum kejadian, warga emas itu dikatakan hendak melintas jalan.

"Pada masa sama, sebuah van dipandu lelaki berusia 65 tahun itu dalam perjalanan dari arah Selandar ke Kesang, gagal mengelak wanita itu lalu merempuhnya.

“Akibatnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian muka dan anggota badan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, Arshad berkata, susulan kejadian, pihaknya sudah memanggil pemandu van terbabit dan merakam keterangan lelaki berkenaan.

Beliau berkata, polis juga meminta orang awam yang melihat kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.

“Kes siasatan mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 3:36 PM